"HOROSKOP" MENJEBAK UMAT KEPADA SYIRIK
إِنَّ الْحَمْدَ للهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ ، وَنَعُوْذُ باِللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيْئَاِتِ أَعْمَالِلنَا , مَنْ يَهْدِهِ اللهِ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ ، وَأَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ . وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
أَمَّا بَعْـدُ
إِنَّ أَصْدَقَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَأَحْسَنَ الْهَدْيِ هَدْيُ مُحَمَّدٍ وَشَرُّ الْأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ وَكُلُّ ضَلَالَةٍ فِي النَّارِ
Segala puji bagi ALLAH, kami memuji-NYA dan kami memohon pertolongan-NYA dan kami memohon keampunan-NYA, dan kami berlindung kepada ALLAH dari keburukan diri kami dan dari keburukan perbuatan kami. Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka tiadalah kesesatan baginya dan sesiapa yang disesatkan oleh ALLAH maka tiadalah petunjuk baginya. Kami bersaksi bahawa tiada Tuhan Yang Berhak Di Ibadahi kecuali ALLAH yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-NYA dan kami bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba-NYA dan Rasul-NYA
"Sebaik-baik perkataan adalah Kitab Allah (Al-Quran), dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad saw dan seburuk-buruk perkara adalah perkara yang baru/diada-adakan (muhdats), dan setiap perkara yang baru/diada-adakan (muhdats) adalah bid'ah, dan setiap bid'ah adalah sesat, dan setiap kesesasatan tempatnya neraka."
HOROSKOP DAN TERJEBAKNYA UMAT KEPADA SYIRIK
Masyarakat Islam hari ni telah di kelirukan oleh musuh-musuh islam di serata penjuru dunia dan segala bala tentera syaitan laknatullah bekerja siang dam malam menjerumuskan masyarakat Islam supaya berdampingan dengan perkara syirik kepada Allah azzawajalla. Perbagai sarana tipudaya dan muslihat di gunakan untuk mencapai tujuan tersebut.
Salah satu tindakan yang mencemari kemurnian tauhid yang tidak disedari ramai ialah membaca dan mempercayai Horoscopes. Horoscopes ialah bintang seseorang yang dengan itu dapat diramal kebaikan atau keburukannya. Bintang ini ditentukan berdasarkan tarikh lahir. Sebagai contoh, orang yang lahir antara 21 Mac hingga 19 April memiliki bintang Aries, orang yang lahir antara 20 April hingga 20 Mei memiliki bintang Taurus dan demikianlah seterusnya. Asal usul horoscopes ialah menggunakan kedudukan bintang, planet dan matahari untuk meramalkan kebaikan atau keburukan.Ianya berasal dari zaman Greek lama bertujuan untuk meramal nasib seseorang.
Di dalam Islam, kedudukan bintang, planet dan matahari tidak memainkan peranan untuk meramalkan kebaikan atau keburukan. Pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, terdapat kepercayaan yang menyamai amalan menggunakan bintang, planet dan matahari sebagai sumber ramalan. Kepercayaan tersebut ialah menggunakan bintang untuk meramalkan hujan.
Rasulullah menolak amalan sedemikian kerana ia adalah satu bentuk kekafiran. Zaid bin Khalid al-Juhani radhiallahu 'anh menerangkan:
صَلَّى لَنَا رَسُولُ اللَّھِ صَلَّى اللَّھُ عَلَیْھِ وَسَلَّمَ صَلاَةَ
الصُّبْحِ بِالْحُدَیْبِیَةِ عَلَى إِثْرِ سَمَاءٍ كَانَتْ مِنْ اللَّیْلَةِ. فَلَمَّا
انْصَرَفَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّھُ عَلَیْھِ وَسَلَّمَ أَقْبَلَ عَلَى النَّاسِ
فَقَالَ: ھَلْ تَدْرُونَ مَاذَا قَالَ رَبُّكُمْ؟ قَالُوا: اللَّھُ وَرَسُولُھُ
أَعْلَمُ. قَالَ: أَصْبَحَ مِنْ عِبَادِي مُؤْمِنٌ بِي وَكَافِرٌ فَأَمَّا مَنْ
قَالَ مُطِرْنَا بِفَضْلِ اللَّھِ وَرَحْمَتِھِ فَذَلِكَ مُؤْمِنٌ بِي كَافِرٌ
بِالْكَوْكَبِ وَأَمَّا مَنْ قَالَ بِنَوْءِ كَذَا وَكَذَا فَذَلِكَ كَافِرٌ بِي
مُؤْمِنٌ بِالْكَوْكَبِ
Kami bersolat subuh bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di Hudaibiyah setelah semalamnya turun hujan. Tatkala selesai, Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menghadap orang ramai
dan bersabda:
“Tahukah kalian apa yang difirmankan oleh Tuhan kalian?” Mereka menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Rasulullah menjawab (Allah berfirman): “Pada pagi ini ada di antara hamba-Ku yang beriman kepada-Ku dan ada yang kafir. Adapun orang yang berkata hujan turun kepada kami kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya, maka dia beriman kepada-Ku dan kafir kepada bintang. Sedangkan orang yang berkata hujan turun kepada kami kerana bintang itu dan ini, maka dia kafir kepada-Ku dan beriman kepada bintang.”
Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahih nya
Adapun sebab Islam melarang penggunaan bintang,planet dan matahari sebagai sumber ramalan, adalah kerana ilmu-ilmu ghaib tidak tersimpan dalam objek-objektersebut. Apabila seorang muslim menggunakan bintang, planet dan matahari untuk membuat ramalan tertentu, seolah-olah dia mempercayai objek-objek tersebut mampu mengkhabarkan kepada dia ilmu ghaib tentang sesuatu yang akan berlaku. Ini semua adalah kepercayaan yang salah kerana tiada siapa atau apa jua yang mengetahui ilmu ghaib kecuali Allah Subhanahu wa Ta'ala. Dengan itu juga, sikap seorang muslim terhadap Horoscope adalah seperti perbincangan yang lepas tentang
hukum mengunjungi bomoh. Seorang muslim bukan sahaja dilarang daripada membenarkan ramalan Horoscope tetapi juga membacanya. Seorang muslim tidak boleh memiliki apa-apa urusan dengan Horoscope melainkan untuk menerangkan kesalahan dan kesiasiaannya kepada orang lain. Lebih lanjut, sikap kita terhadap ilmu ghaib tidak sahaja terhad kepada Horoscope tetapi apa jua benda yang didakwa mampu memberi khabar tentang ilmu ghaib.
Antara yang dimaksudkan ialah:
1. Menggunakan burung untuk memilih kad yang di sebaliknya tercatit ramalan tertentu.
2. Membaca alur-alur di tangan (palm reading).
3. Membaca gerak-geri dan wajah seseorang yang dengan itu kononnya dapat diramalkan sesuatu perkara. Bahkan ada yang mendakwa, dengan melihat tumit seorang wanita dia dapat mengetahui sama ada wanita tersebut masih dara atau
sebaliknya.
4. Melukis garis-garis dan membacanya dengan kaedah tertentu.
5. Bertanya kepada bebola kristal.
Islam adalah agama yang menentang semua unsur khurafat, tahyul dan apa sahaja kebatilan yang tidak berasaskan fakta dan dalil yang benar. Meramal masa depan tanpa asas-asas yang boleh dipercayai atau saintifik adalah merosakkan akal dan menimbulkan berbagai salah sangka dalam kehidupan manusia. Ia boleh memutuskan harapan, atau membuat jangkaan yang salah. Sedangkan kita dilarang untuk berputus asa dari rahmat Allah. Segala unsur yang membodohkan manusia, ditentang keras oleh ajaran Islam ini.
Kepercayaan bahawa tarikh tertentu membentuk watak tertentu tidak berasaskan apa-apa bukti ilmiah sama sekali. Demikian juga, kepercayaan rupa paras tertentu membawa perangai baik dan buruk yang tertentu tidak berasaskan bukti melainkan pra-sangka terhadap ciptaan Allah semata. Jika ada yang mendakwa bahawa tarikh lahir tertentu seperti angka 1 mempengaruhi nasib tertentu dengan disertakan bukti beberapa tokoh atau individu, itu bukanlah bukti yang ilmiah.
Warna kulit dan rupa paras adalah ciptaan Allah. Ia bukan pilihan manusia. Tarikh lahir juga adalah luar dari penguasaan seseorang individu. Meramal manusia berdasarkan rupa atau tarikh lahir, menyanggahi prinsip Islam yang menilai manusia berdasarkan amalan yang telah dilakukan. Nabi salallahua'laihiwasalam menyebut:
“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).
Masa depan seseorang termasuk dalam perkara ghaib yang tidak ketahui oleh sesiapa melainkan Allah. Sesiapa yang mendakwa dia mengetahui kejadian masa depan tanpa sebarang alasan yang munasabah, maka dia telah menandingi kenyataan Allah. Nabi s.a.w pun tidak dapat mengetahui masa depan, buruk dan baik yang akan menimpa melainkan dengan kadar yang Allah wahyukan kepada baginda. Firman Allah:
قُل لَّا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلَا ضَرًّا إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ ۚ وَلَوْ كُنتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لَاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ ۚ إِنْ أَنَا إِلَّا نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Jika aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya kebaikan dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah pemberi amaran (bagi orang-orang yang engkar) dan pembawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman”(Surah al-A’raf: 188).
Jika ada ilmu untuk mengetahui masa depan, tentulah Nabi salallahua'laihiwasalam lebih utama untuk mengetahuinya kerana perjuangan baginda lebih penting dari segalanya. Malangnya, tidak sedemikian!
Perbuatan menilik nasib samada melalui ilmu bintang atau bacaan di tapak tangan atau tarikh lahir adalah haram dan boleh membawa kepada syirik jika mempercayai penilik atau peramal tersebut mengetahui yang ghaib. Sabda Nabi salallahua'laihiwasalam dalam hadith yang sahih:
“Sesiapa yang datang menemui penilik atau peramal nasib lalu mempercayai apa yang diberitahu olehnya, maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasai dan Ibn Majah).
قُل لَّا يَعْلَمُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ ۚ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ
“Katakanlah (wahai Muhammad) tiada siapa di langit dan bumi yang mengetahui perkara ghaib melainkan Allah”. (Surah al-Naml: 65).
Dalam ayat lain Allah berfirman:
قُلْ إِنْ أَدْرِي أَقَرِيبٌ مَّا تُوعَدُونَ أَمْ يَجْعَلُ لَهُ رَبِّي أَمَدًا ﴿٢٥﴾ عَالِمُ الْغَيْبِ فَلَا يُظْهِرُ عَلَىٰ غَيْبِهِ أَحَدًا
إِلَّا مَنِ ارْتَضَىٰ مِن رَّسُولٍ فَإِنَّهُ يَسْلُكُ مِن بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ رَصَدًا
“Tuhanlah yang mengetahui segala yang ghaib, maka tidak zahir perkara ghaib itu kepada sesiapapun, -melainkan kepada mana-mana rasul yang diredhaiNya”
(Surah al-Jinn: 26-27).
Islam dalam masa yang sama, tahu bahawa manusia amat gusar tentang perjalanan masa depan mereka. Bimbang terhadap kejadian yang mendatang. Maka dengan itu begitu banyak Islam mengajar tawakal dan doa-doa untuk insan mengharungi kehidupan di alam ini. Pohonlah langsung kepada Allah Yang Menguasai Segala Urusan! Antaranya doa Nabi salallahua'laihiwasalam
“Ya Haiyyum, Ya Qayyum, dengan rahmatMu daku memohon pertolongan. Baikilah seluruh urusanku, dan janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku walaupun sekelip mata” (Riwayat al-Nasai, dinilai sahih oleh al-Albani).
Demikian indahnya doa ini, apabila seorang hamba dengan penuh merendah, menyerahkan harapan dan urusannya kepada Allah agar membaiki segala tindakan dan urusan hidupnya. Apakah mungkin seorang mukmin yang melafazkan doa sebegini dengan penuh makna dan faham, lalu menyerahkan kepercayaan masa depan ke tangan tukang ramal dan tukang tilik?!
Seperkara lain yang perlu dicatat adalah, tindakan yang dilarang ialah menggunakan bintang, planet, matahari dan sebagainya sebagai sumber untuk mengetahui ilmu ghaib. Berbeza hukumnya jika seorang muslim menggunakan objek-objek tersebut sebagai sumber ramalan yang bersandarkan kepada ilmu. Hal ini dibolehkan. Oleh itu menggunakan bintang bagi menentukan arah perjalanan, menggunakan matahari dan bulan untuk kiraan masa, mengusahakan tanaman yang berlainan pada musim yang berlainan dan meramalkan hujan berdasarkan arah tiupan angin adalah dibolehkan. Ini kerana pola susunan bintang, pergerakan matahari, peralihan musim dan arah tiupan angin tidak lain adalah sesuatu yang dicipta oleh Allah untuk dimanfaatkan oleh manusia. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
وَسَخَّرَ لَكُمُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ ۖ وَالنُّجُومُ مُسَخَّرَاتٌ بِأَمْرِهِ ۗ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ
Dan Dia (Allah) memudahkan bagi kamu malam dan siang, dan matahari serta bulan; dan bintang-bintang dimudahkan dengan perintah-Nya untuk keperluan-keperluan kamu. Sesungguhnya
yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mahu memahaminya. [al-Nahl 16:12]
Dan Firman nya lagi
هُوَ الَّذِي جَعَلَ الشَّمْسَ ضِيَاءً وَالْقَمَرَ نُورًا وَقَدَّرَهُ مَنَازِلَ لِتَعْلَمُوا عَدَدَ السِّنِينَ وَالْحِسَابَ ۚ مَا خَلَقَ اللَّهُ ذَٰلِكَ إِلَّا بِالْحَقِّ ۚ يُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ
Dia-lah (Allah) yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia-lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat tempat
peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa.
Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar.
Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya (tanda-tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu
mengetahui (hikmah sesuatu yang dijadikan-Nya).
[Yunus 10:05]
Firmannya lagi :
خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ بِالْحَقِّ ۖ يُكَوِّرُ اللَّيْلَ عَلَى النَّهَارِ وَيُكَوِّرُ النَّهَارَ عَلَى اللَّيْلِ ۖ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ ۖ كُلٌّ يَجْرِي لِأَجَلٍ مُّسَمًّى ۗ أَلَا هُوَ الْعَزِيزُ الْغَفَّارُ
Dia (Allah) menciptakan langit dan bumidengan ada faedah dan gunanya yang sebenar; Dia pula menjadikan malam melingkari siang dan menjadikan siang melingkari malam; dan Dia menjadikan matahari dan bulan beredar menurut perintahnya, - tiap-tiap satu dari keduanya, beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Ingatlah! Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Yang sentiasa Mengampuni. [al-Zumar 39:05]
Dalam membuat pemilihan yang tidak pasti, Islam mengajar pula penganutnya untuk beristikharah sebelum memilih atau memutuskan sesuatu urusan. Walaupun wahyu sudah terputus dan ramalan nasib pula dilarang namun hubungan spiritual antara insan dengan Tuhan yang menguasai segala urusan terus terbuka untuk insan lakukan. Insan disuruh beristikharah memohon pemilihan Allah terhadap urusan yang meragukan yang bakal dilakukannya. Hayatilah doa istikharah yang indah yang diajar oleh Nabi salallahua'laihiwasalam betapa ia mendamaikan perasaan dan member harapan dengan penuh iman. Demikian gantian yang Islam berikan yang lebih bermakna dari amalan-amalan yang khurafat.
wallahu a'lam
No comments:
Post a Comment