Monday, 27 June 2011

METHODOLOGI AHLI AL-SUNNAH & AHLI AL-KALAM[1]

WACANA ILMU DI MEDIU SHAH ALAM 
26/06/2011


METHODOLOGI AHLI AL-SUNNAH & AHLI AL-KALAM[1]

Dr. Fadlan Mohd. Othman[2]  
Jabatan Pengajian al-Qur’an dan al-Sunnah
Fakulti Pengajian Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia

Pendahuluan

Di dalam pemahaman dan pengamalan Islam pelbagai penyelewengan dan pencemaran telah berlaku. Justeru, adalah wajar digunakan kaedah penapisan/penolakan (اَلتَّصْفِيَةُ) dan pendidikan/pengisian (اَلتَّرْبِيَةُ). Tujuan penapisan ialah untuk mengasingkan antara yang hak dari yang batil. Manakala pendidikan dibuat sebagai susulan selepas kebenaran dan kebatilan menjadi jelas, lalu ditolak yang batil dan diterapkan yang hak. Firman Allah Ta'ala dalam surah Al-Anfaal (8:37):

Maksudnya: SUPAYA ALLAH MEMISAHKAN (GOLONGAN) YANG BURUK DARI YANG BAIK DAN MENJADIKAN (GOLONGAN) YANG BURUK ITU SEBAGIANNYA DI ATAS SEBAGIAN YANG LAIN, LALU KESEMUANYA DITUMPUKKAN-NYA , DAN DIMASUKKAN-NYA KE DALAM NERAKA JAHANNAM. MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG MERUGI. 


Jikalau kita telitikan, kaedah ini terdapat di dalam dua kalimah syahadah;           (لاَ إِلَهَ) bererti penolakan terhadap sebarang tuhan yang berhak diabdikan diri kepadanya, manakala (إِلاَّ اللهُ) bererti mengisikan kekosongan dengan pengakuan terhadap hak mutlak Allah Ta’ala untuk diabdikan diri kepadaNya. Dua elemen ini sebenarnya dapat bahkan wajib dijadikan formula dalam kehidupan kita samada kehidupan agama mahupun dunia.

Dengan ini kita dapati bahawa pendidikan yang dilakukan tanpa usaha penapisan terlebih dahulu atau seiringan, hanya akan menambahkan kekeliruan dengan wujudnya unsur campur-aduk tanpa batasan. Bidang-bidang yang perlu ditapis lalu dididik merangkumi Aqidah, Rujukan Hukum (Tahakum), Sunnah, Fiqh, Tafsir, Penyucian jiwa (Tazkiah), Pemikiran (Fikr), Sejarah, Dakwah dan Bahasa Arab.[3]

Rasulullah s.a.w. sendiri telah melaksanakan kaedah ini di dalam dakwah Baginda s.a.w. Di Mekah, selama 13 tahun Baginda telah memulakannya dengan menolak segala unsur-unsur syirik dengan penuh tekun dan gigih. Di Madinah pula, selama 10 tahun Baginda menyusulkan dengan pendidikan berlandaskan Aqidah yang suci dan terpelihara.

Kertas kerja ini akan menumpukan kepada perbezaan antara Ahli al-Sunnah dengan Ahli al-Kalam. Fokus utama adalah terhadap Masdar al-Talaqqi (Sumber Agama) dan al-Istidlal (Pendalilan). Jika kita benar-benar meneliti, kita akan dapati punca segala kesilapan ialah dalam salah satu daripada dua perkara ini ataupun kedua-duanya sekali. Semoga perbincangan berikut akan dapat membuka minda kita untuk menilai antara kebenaran dan kebatilan.

Perbandingan Ahli al-Sunnah dan Ahli al-Kalam dalam sumber agama

Perbandingan antara Ahli al-Sunnah dengan Ahli al-Kalam dalam sumber agama dapatlah dilakarkan seperti berikut:


Ahli al-Sunnah
Yang utama ialah Al-Quran & al-Sunnah, Aql Salim penguat hujah

Ahli al-Kalam
Yang utama ialah Aql @ Logik Falsafi, Al-Quran & al-Sunnah sampingan

Ahli al-Sunnah
Berpandukan kefahaman Salaf Salih

Ahli al-Kalam
Berpandukan kefahaman Ahli Falsafah

Ahli al-Sunnah
Merujuk kepada Ulama Ahli al-Sunnah

Ahli al-Kalam
Tidak merujuk kepada Ulama Ahli al-Sunnah

Perbandingan Ahli al-Sunnah dan Ahli al-Kalam dalam pendalilan

Perbandingan antara Ahli al-Sunnah dengan Ahli al-Kalam dalam pendalilan dapatlah dilakarkan seperti berikut:

Ahli al-Sunnah
Mendahulukan Naql ke atas Aql, dan tiada percanggahan antara kedua-duanya

Ahli al-Kalam
Mendahulukan Aql ke atas Naql, berlaku percanggahan antara kedua-duanya

Ahli al-Sunnah
Berpegang kepada Naql dalam permasalahan ghaib

Ahli al-Kalam
Berpegang kepada Aql dalam permasalahan ghaib

Ahli al-Sunnah
Menolak ta’wil falsafi

Ahli al-Kalam
Menggunakan ta’wil falsafi

Ahli al-Sunnah
Tidak membezakan antara al-Quran dan al-Sunnah dalam pendalilan

Ahli al-Kalam
Mentakwil al-Quran, menerima Mutawatir & menolak Ahad dalam Aqidah

Ahli al-Sunnah
Berpegang kepada al-Muhkam

Ahli al-Kalam
Berpegang kepada al-Mutashabih

Al-Qanun al-Kulli !!!

Al-Imam Fakhr al-Din al-Razi telah berkata:

Fasal ketiga puluh dua berkenaan: Sesungguhnya burhan aql sekiranya bertentangan dengan zahir naql, bagaimanakah keadaannya?

Ketahuilah, sesungguhnya dalil-dalil pasti akal sekiranya menetapkan sesuatu perkara kemudian kita dapati dalil-dalil naql yang zahirnya menunjukkan sebaliknya; maka di situ keadaannya tidak lari daripada empat perkara;

1)      Sama ada dipercayai maksud aql dan naql, maka ertinya dipercayai dua perkara yang berlawanan, dan ini mustahil;

2)      Atau kita batalkan kedua-duanya, maka ertinya dibohongi dua perkara yang berlawanan, dan ini mustahil;

3)      Atau dipercayai zahir naql dan dibohongi zahir aql, maka ini batil kerana kita tidak mampu mengetahui kesahihan zahir naql kecuali jika kita tahu dengan dalil aql; penetapan al-Sani‘ (Tuhan Pencipta) dan sifat-sifatNya, juga perihal petunjuk mukjizat ke atas kebenaran Rasulullah s.a.w. dan kemunculan mukjizat pada Muhammad s.a.w.. Jika sanggahan berlaku ke atas dalil aql yang pasti, maka aql berstatus diragui serta tidak diterima kenyataannya. Jika inilah hakikatnya, maka aql terkeluar daripada diterima kenyataannya dalam dasar-dasar ini. Jika dasar-dasar ini tidak sabit, maka terkeluarlah dalil naql daripada memberi sebarang faedah. Dengan ini jelaslah bahawa sanggahan ke atas aql untuk mentashihkan naql hanya membawa kepada sanggahan ke atas aql dan naql sekaligus, dan ini batil.

4)      Dengan terbatalnya empat bahagian ini, tiada yang tinggal kecuali diputuskan maksud dalil aql yang pasti, bahawa dalil-dalil naql ini dikatakan tidak sahih atau dikatakan sahih tetapi ertinya bukanlah yang zahir.
Kemudian jika kita membenarkan ta’wil, kita melakukannya secara tambahan dengan membawa segala ta’wilan secara terperinci. Kalau kita tidak membenarkan ta’wil pula, kita serahkan sahaja ilmu tentangnya kepada Allah Ta‘ala.
Inilah dia al-Qanun al-Kulli yang dirujuk pada semua perbincangan mutashabihat.[4]

Kesimpulan

Dengan penjelasan ringkas ini, diharapkan kita telahpun dapat membezakan antara Ahli al-Sunnah dengan Ahli al-Kalam, dari dua sudut asasi iaitu, sumber ilmu dan pendalilan. Semoga kita menepati firman Allah Ta‘ala agar dibezakan antara jalan kebenaran dengan jalan kerosakan. Firman Allah Ta‘ala (al-An‘am, 6:55):

Maksudnya: “....DAN DEMIKIANLAH KAMI TERANGKAN AYAT-AYAT AL-QURAN ( SUPAYA JELAS JALAN ORANG-ORANG YANG SOLEH ) DAN SUPAYA JELAS PULA JALAN ORANG-ORANG YANG BERDOSA”  

Dalam hadith Sahih al-Bukhari, riwayat Huzaifah ibnu al-Yaman :

Maksunyda: Orang ramai sering bertanyakan kepada rasulullah saw tentang kebaikan, tetapi aku   sering bertanyakan kepada baginda tentang kejahatan kerana takut ia akan menimpaku ( dalam keadaan aku tidak menyedarinya).

Bibliografi

Al-Quran al-Karim.

Al-‘Aqil, Dr. Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab. 1419H-1998. Manhaj al-Imam al-Shafi‘i fi Ithbat al-‘Aqidah. Al-Riyad: Adwa’ al-Salaf.

Al-‘Aql, Dr. Nasir Abd al-Karim. 1417H. Al-Halqah al-Thaniyah al-Ahwa’ wa al-Firaq wa al-Bida‘ ‘Ibr Tarikh al-Islam. Al-Riyad: Dar al-Watan

Al-‘Aql, Dr. Nasir Abd al-Karim. 1417H. Manahij Ahl al-Ahwa’ wa al-Iftiraq wa al-Bida‘ wa Usuluhum wa Simatuhum. Al-Riyad: Dar al-Watan

Al-Amin, al-Sadiq al-Amin. 1418H-1998. Mauqif al-Madrasah al-‘Aqliyyah min al-Sunnah al-Nabawiyyah. Al-Riyad: Maktabat al-Rushd.

Al-Athari, Ali bin Hasan bin Ali bin Abd al-Hamid. 1414h. Al-Tasfiyah wa al-Tarbiyah wa Atharuhuma fi Isti’naf al-Hayah al-Islamiyyah. Riyadh: Dar al-Tauhid li al-Nashr wa al-Tawzi‘.

Al-Qausi, Dr. Mufrih bin Sulaiman. Al-Manhaj al-Salafi Ta‘rifuh Tarikhuh Majalatuh Qawa‘iduh Khasa’isuh. Al-Riyad: Dar al-Fadilah.

Al-Razi, Fakhr al-Din. 2001. Asas al-Taqdis. Tahqiq Dr. Ahmad Hijazi al-Saqa. Al-Qahirah: Maktabat al-Kulliyyat al-Azhariyyah.

Dr. Muhamad Yusri. 1426H-2005. Al-Mubtadi ‘ah wa Mauqif Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah minhum. Dar Taibah al-Khadra’.

[1] Kertas kerja Ini disediakan untuk Wacana Methodhologi Ahlussunnah Wal Jamaah Dalam Usul & Muamalat, 26 Jun 2011 bersamaan 24 Rejab 1432H, di MEDIU, Plaza Masalam, Shah Alam.

[2] Pensyarah bidang Hadith dan Ulum al-Hadith di Jabatan Pengajian al-Qur’an dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

[3]  Al-Athari, Ali bin Hasan bin Ali bin Abd al-Hamid. 1414h. Al-Tasfiyah wa al-Tarbiyah wa Atharuhuma fi Isti’naf al-Hayah al-Islamiyyah. Riyadh: Dar al-Tauhid li al-Nashr wa al-Tawzi‘. Hlm. 34-94.

[4]  Al-Razi, Fakhr al-Din. 2001. Asas al-Taqdis. Tahqiq Dr. Ahmad Hijazi al-Saqa. Al-Qahirah: Maktabat al-Kulliyyat al-Azhariyyah.

No comments:

Post a Comment